Suami Mithali

Wahai suami mithali…
1. Isteri adalah manusia
Mereka adalah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka reda dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira. Namun, jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, emosi mereka mulai berkecamuk dan sering ingin mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

2. Dengar pendapat isteri
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu semasa boleh dijadikan sebagai ‘ice-breaking’. Kemudian, berbincanglah mengenai hal rumah tangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri mengenai masalah kerjanya. Malah, isteri tentu berminat hendak mengetahui ‘gosip’ pejabat selepas seharian berhempas pulas di rumah. Dari situ isteri dapat mengenali karektor rakan pejabat suami secara tidak langsung.

3. Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas. Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur. Memanglah wajar isteri penat jika dia terpaksa bangun pagi seawal lima pagi bagi memastikan semuanya beres demi kemudahan suami dan anak-anak. Kemudian tidur pula paling lewat kerana sibuk menyediakan persiapan untuk esok hari.

4. Menganggap pasangan seperti diri sendiri
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi lebih-lebih lagi pasangan suami dan isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh kebanyakan pasangan. Sedangkan pasangan anda adalah cermin diri anda sendiri. Ke mana juga anda pergi potret wajahnya perlu anda bawa bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumah tangga akan menjadi bahagia.

5. Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa saja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Jika suami seorang yang prihatin dan menyayangi isterinya, apalah salahnya jika dia memberikan hadiah kepada isterinya. Hadiah tidak perlu terlalu mahal. Cukup sekadar seutas jam atau sehelai tudung sempena meraikan hari lahir. Jika ‘budget’ anda tidak mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping kad sudah memadai. Hati isteri akan tersentuh dengan pemberian hadiah dan lebih terharu jika anda sempat menulis sepatah dua kata penghargaan di dalamnya seperti “Terima kasih di atas segala pengorbanan sayang selama ini”.

6. Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Jika isteri berhajatkan sebuah mesin basuh atau mesin jahit, suami mungkin terpaksa berfikir dua atau tiga kali sebelum memenuhinya. Bagaimanapun, jika anda tidak berjaya memenuhi hajat isteri untuk masa yang terdekat, simpanlah hajat isteri anda itu dan tunaikanlah apabila anda berpeluang kelak. Bukankah pemberian itu melambangkan anda suami yang amat menghargai pengorbanan isteri?

7. Bantu ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda masak. Tentu dia berasa gembira dan tersenyum.

8. Isteri bukan pembantu rumah
Kebanyakan suami menganggap kerja rumah adalah tanggungjawab isteri 100 peratus. Walhal dalam Islam sendiri tidak ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan wanita berkahwin yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaik akan dijamin masuk syurga. Itu saja. Atas jaminan inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja rumah yang mereka lakukan selama ini.

9. Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu kebebasan baginya kerana isteri tidak dapat menghidu apakah yang dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini. Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat peranginan yang menarik. Walaupun ia nampak remeh, setiap isteri pasti akan menghargai saat manis itu.

10. Ciuman khas untuk isteri
Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat selepas begitu penat bekerja. Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isteri

Terima kasih suamiku kerana menjadi suami mithali..

About fit3nan

Fitri Nurul 'Ain Nordin - Anak kelahiran kota KL pada 1 Syawal 1405h/20 Jun 1985 - Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan - BA of Arabic, Uni Al-Azhar(2008), MA of Arabic As A Second Langunge, IIUM Gombak (Jun,2011)
Gallery | This entry was posted in articles. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s