Teori perkembangan bahasa

Bahasa arab merupakan suatu anugerah paling besar yang Allah kurniakan kepada bangsa Arab.  Sejak zaman jahiliyah lagi ketuanan bahasa syurga ini tidak dapat disanggah oleh mana-mana pihak dek keistimewaan yang tersirat.  Kekayaan bahasa arab dengan kepelbagaian istilah untuk menterjemahkan sesuatu situasi samada konkrit mahupun abstrak telah meletakkannya pada status yang tinggi di kalangan bangsa Arab.  Justeru, tidak hairanlah jika ia menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan yang digunakan oleh kabilah-kabilah luar yang datang berdagang di Mekah.

Di samping itu, tekanan bangsa bukan Arab telah memberi ilham kepada kebanyakan pembesar-pembesar bagi menyatukan orang-orang Arab dengan menjadikan bahasa al-quran ini sebagai bahasa rasmi agar sebarang strategi pengukuhan bangsa dapat dilunaskan oleh semua kabilah yang berlainan dialek.


Kemunculan pasar-pasar yang rancak bak cendawan tumbuh telah menjadi medium bagi para penyair Arab untuk mengadaptasikan segala bentuk luahan rasa, permasalah kabilah mahupun puji-pujian yang mengagungkan ketua mereka dalam bentuk syair.Pada zaman ini, pasar bukanlah tempat yang sinonim dengan aktiviti perniagaan, sebaliknya ia menjadi medan pertarungan para penyair mempersembahkan hasil karya mereka.


Melalui kronologi ini, kita dapat menyingkap kepentingan bahasa arab di tanah Arab sejak dahulu lagi.  Namun apakah rahsia Bahasa Arab sehingga ia dinobatkan sebagai bahasa syurga? Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.  Oleh yang demikian, pengetahuan tentang asal usul bahasa perlulah diketahui sebelum menyelusuri dengan lebih mendalam tentang keistimewaan Bahasa Arab ini.


Ramai tokoh-tokoh bahasa telah berselisih faham dalam teori perkembangan bahasa.  Kita perlu sedar bahawa kita sekarang bukanlah mengkaji sejarah bahasa arab, sebaliknya bagaimanakah bahasa yang dipertuturkan oleh setiap individu hari ini boleh terbentuk.  Ada yang menyifatkan bahasa ini lahir daripada ilham yang telah Allah turunkan kepada Nabi Adam alaihissalam.  Pendapat ini dikuatkan lagi dengan kalam Allah yang bermaksud:


“Dan Dia telah mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya” Al-Baqarah:31


Ayat ini menyatakan kepada kita dengan jelas bahawa Allah telah mengajarkan kepada nabi Adam pelbagai nama objek.  Ibn Abbas telah memfokuskan nama-nama ini adalah segala benda yang sudah dikenali oleh manusia dalam ruang lingkup kehidupan kita seperti gunung-ganang, bumi, himar dan lain-lain.


Dalam perbahasan ini, ulamak telah menggariskan  tujuh teori yang lebih cenderung kepada logika akal untuk diterimapakai.  Namun, teori ketujuh yang digagaskan seorang berkulit putih iaitu Sir Darwin telah membuka tirai baru dengan membandingkan fasa perkembangan bahasa dengan fasa peningkatan umur seorang manusia.Pendekatan yang digunakan oleh beliau memberi gambaran jelas kepada kita bahawa bahasa telah mengalami beberapa proses sebelum tersusun menjadi ungkapan yang difahami maknanyaBeliau telah memperincikannya kepada lima peringkat selari dengan proses tumbesaran seorang bayi hingga ke peringkat kanak-kanak.


Pada peringkat yang pertama, anggota penghasilan suara masih belum mencapai tahap matang.  Justeru, suara yang cuba dikeluarkan kurang jelas, meskipun  keinginan untuk bersuara amat tinggi.  Kita dapati keadaan ini sebenarnya telah dialami oleh seorang kanak-kanak seawal usia belajar bertutur.  Mereka tidak dapat menterjemahkan kehendak mereka yang pelbagai dalam bentuk perkataan yang difahami, sebaliknya kita hanya dapat mendengar suara-suara yang tidak jelas maknanya.


Pada peringkat yang kedua, pembentukan suara dibantu oleh isyarat-isyarat sampingan untuk menghuraikan keinginan-keinginan tertentu.Perkembangan keupayaan anggota pembentukan suara yang disaring dengan emosi zatiah menjadi injeksi kepada seseorang individu untuk menjadi lebih peka dan mampu memberi respon serta tindakbalas kepada situasi semasa melalui kepelbagaian suara yang dikeluarkan. Fenomena ini dapat diperjelaskan melalui tindakan seorang kanak-kanak yang menghampiri usia 2 tahun yang sudah dapat bertindakbalas dengan mengeluarkan isyarat suara untuk melahirkan rasa takut, sedih, kecewa, terpaksa dan lain-lain lagi.


Manakala peringkat ketiga dalam proses ini menyingkap tabir kepada seorang kanak-kanak untuk mengintai tahun kedua dalam hidupnya dalam mengenalpasti intipati alam.  Suara pada peringkat ini sudah berpotensi untuk menyebut potongan-potongan perkataan yang difahami maknanya, meskipun potongan perkataan tersebut kurang lengkap.  Contohnya apabila seorang kanak-kanak sudah pandai melahirkan hasrat hatinya, perkataan-perkataan diulang-ulang dan mereka mudah terpengaruh dengan kata-kata yang didengari samada daripada manusia ataupun binatang.


Peringkat keempat memaparkan satu anjakan paradigma dalam tumbesaran seorang kanak-kanak.  Potensi ini dapat dinilai berdasarkan kemampuan seseorang untuk menghasilkan ungkapan-ungkapan yang dapat menggambarkan kehendak dan tujuan mereka secara jelas dan difahami.  Bahasa pada saat ini sebenarnya hampir mencapai  tahap sempurna kerana ungkapan yang dibentuk sebenarnya adalah impak daripada untaian atau gabungan potongan-potongan perkataan dari peringkat ketiga tadi.  Dalam masa yang sama jentera penghasilan suara sudah mencapai tahap matang.  Perkara ini boleh diqiaskan dengan seseorang kanak-kanak yang sudah pandai melontar kata-kata dan dapat berinteraksi secara baik dengan persekitarannya.  Maka, ruanglingkup kehidupan menjadi semakin luas dan keinginannya bertambah.


Peringkat yang terakhir tentunya menyaksikan tahap klimaks pembentukan bahasa.  Bahasa pada ketika ini terbias pada perspektif yang lebih proaktif digabungjalin dengan beberapa penggunaan istilah ilmiah.  Seseorang pada tahap ini boleh dilabelkan sudah mencapai tahap kanak-kanak yang mula memasuki alam persekolahan.  Mereka dapat bertutur dengan baik dan menggunakan akal fikiran dalam tindak tanduknya kesan daripada proses pendidikan yang dialami samada dalam bentuk akademik mahupun syaksiah diri di sekolah apabila mula didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu.


Tuntasnya, bahasa yang kita tuturkan pada hari ini tidak lahir dengan begitu mudah.  Sebaliknya ia sudah mengalami suatu proses dalam jangka masa yang agak panjang.  Dewasa ini, kita hanyalah ibarat orang yang mengantuk disorong bantal.  Justeru, ramai yang hanya sekadar memandang enteng tentang kewujudan sebuah bahasa.  Bayangkanlah, andai hidup tanpa bahasa, mana mungkin bumi bergemerlap dengan cahaya ilmu dan ukhwah.  Mana mungkin terbinanya izzah sebuah daulah.  Bahasa adalah pencetus ketamadunan!

About these ads

About fit3nan

Fitri Nurul 'Ain Nordin - Anak kelahiran kota KL pada 1 Syawal 1405h/20 Jun 1985 - Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan - BA of Arabic, Uni Al-Azhar(2008), MA of Arabic As A Second Langunge, IIUM Gombak (Jun,2011)
This entry was posted in sastera Arab. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s