June 2006


Bahasa arab merupakan suatu anugerah paling besar yang Allah kurniakan kepada bangsa Arab.  Sejak zaman jahiliyah lagi ketuanan bahasa syurga ini tidak dapat disanggah oleh mana-mana pihak dek keistimewaan yang tersirat.  Kekayaan bahasa arab dengan kepelbagaian istilah untuk menterjemahkan sesuatu situasi samada konkrit mahupun abstrak telah meletakkannya pada status yang tinggi di kalangan bangsa Arab.  Justeru, tidak hairanlah jika ia menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan yang digunakan oleh kabilah-kabilah luar yang datang berdagang di Mekah.

Di samping itu, tekanan bangsa bukan Arab telah memberi ilham kepada kebanyakan pembesar-pembesar bagi menyatukan orang-orang Arab dengan menjadikan bahasa al-quran ini sebagai bahasa rasmi agar sebarang strategi pengukuhan bangsa dapat dilunaskan oleh semua kabilah yang berlainan dialek.


Kemunculan pasar-pasar yang rancak bak cendawan tumbuh telah menjadi medium bagi para penyair Arab untuk mengadaptasikan segala bentuk luahan rasa, permasalah kabilah mahupun puji-pujian yang mengagungkan ketua mereka dalam bentuk syair.Pada zaman ini, pasar bukanlah tempat yang sinonim dengan aktiviti perniagaan, sebaliknya ia menjadi medan pertarungan para penyair mempersembahkan hasil karya mereka.


Melalui kronologi ini, kita dapat menyingkap kepentingan bahasa arab di tanah Arab sejak dahulu lagi.  Namun apakah rahsia Bahasa Arab sehingga ia dinobatkan sebagai bahasa syurga? Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.  Oleh yang demikian, pengetahuan tentang asal usul bahasa perlulah diketahui sebelum menyelusuri dengan lebih mendalam tentang keistimewaan Bahasa Arab ini.


Ramai tokoh-tokoh bahasa telah berselisih faham dalam teori perkembangan bahasa.  Kita perlu sedar bahawa kita sekarang bukanlah mengkaji sejarah bahasa arab, sebaliknya bagaimanakah bahasa yang dipertuturkan oleh setiap individu hari ini boleh terbentuk.  Ada yang menyifatkan bahasa ini lahir daripada ilham yang telah Allah turunkan kepada Nabi Adam alaihissalam.  Pendapat ini dikuatkan lagi dengan kalam Allah yang bermaksud:


“Dan Dia telah mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya” Al-Baqarah:31


Ayat ini menyatakan kepada kita dengan jelas bahawa Allah telah mengajarkan kepada nabi Adam pelbagai nama objek.  Ibn Abbas telah memfokuskan nama-nama ini adalah segala benda yang sudah dikenali oleh manusia dalam ruang lingkup kehidupan kita seperti gunung-ganang, bumi, himar dan lain-lain.


Dalam perbahasan ini, ulamak telah menggariskan  tujuh teori yang lebih cenderung kepada logika akal untuk diterimapakai.  Namun, teori ketujuh yang digagaskan seorang berkulit putih iaitu Sir Darwin telah membuka tirai baru dengan membandingkan fasa perkembangan bahasa dengan fasa peningkatan umur seorang manusia.Pendekatan yang digunakan oleh beliau memberi gambaran jelas kepada kita bahawa bahasa telah mengalami beberapa proses sebelum tersusun menjadi ungkapan yang difahami maknanyaBeliau telah memperincikannya kepada lima peringkat selari dengan proses tumbesaran seorang bayi hingga ke peringkat kanak-kanak.


Pada peringkat yang pertama, anggota penghasilan suara masih belum mencapai tahap matang.  Justeru, suara yang cuba dikeluarkan kurang jelas, meskipun  keinginan untuk bersuara amat tinggi.  Kita dapati keadaan ini sebenarnya telah dialami oleh seorang kanak-kanak seawal usia belajar bertutur.  Mereka tidak dapat menterjemahkan kehendak mereka yang pelbagai dalam bentuk perkataan yang difahami, sebaliknya kita hanya dapat mendengar suara-suara yang tidak jelas maknanya.


Pada peringkat yang kedua, pembentukan suara dibantu oleh isyarat-isyarat sampingan untuk menghuraikan keinginan-keinginan tertentu.Perkembangan keupayaan anggota pembentukan suara yang disaring dengan emosi zatiah menjadi injeksi kepada seseorang individu untuk menjadi lebih peka dan mampu memberi respon serta tindakbalas kepada situasi semasa melalui kepelbagaian suara yang dikeluarkan. Fenomena ini dapat diperjelaskan melalui tindakan seorang kanak-kanak yang menghampiri usia 2 tahun yang sudah dapat bertindakbalas dengan mengeluarkan isyarat suara untuk melahirkan rasa takut, sedih, kecewa, terpaksa dan lain-lain lagi.


Manakala peringkat ketiga dalam proses ini menyingkap tabir kepada seorang kanak-kanak untuk mengintai tahun kedua dalam hidupnya dalam mengenalpasti intipati alam.  Suara pada peringkat ini sudah berpotensi untuk menyebut potongan-potongan perkataan yang difahami maknanya, meskipun potongan perkataan tersebut kurang lengkap.  Contohnya apabila seorang kanak-kanak sudah pandai melahirkan hasrat hatinya, perkataan-perkataan diulang-ulang dan mereka mudah terpengaruh dengan kata-kata yang didengari samada daripada manusia ataupun binatang.


Peringkat keempat memaparkan satu anjakan paradigma dalam tumbesaran seorang kanak-kanak.  Potensi ini dapat dinilai berdasarkan kemampuan seseorang untuk menghasilkan ungkapan-ungkapan yang dapat menggambarkan kehendak dan tujuan mereka secara jelas dan difahami.  Bahasa pada saat ini sebenarnya hampir mencapai  tahap sempurna kerana ungkapan yang dibentuk sebenarnya adalah impak daripada untaian atau gabungan potongan-potongan perkataan dari peringkat ketiga tadi.  Dalam masa yang sama jentera penghasilan suara sudah mencapai tahap matang.  Perkara ini boleh diqiaskan dengan seseorang kanak-kanak yang sudah pandai melontar kata-kata dan dapat berinteraksi secara baik dengan persekitarannya.  Maka, ruanglingkup kehidupan menjadi semakin luas dan keinginannya bertambah.


Peringkat yang terakhir tentunya menyaksikan tahap klimaks pembentukan bahasa.  Bahasa pada ketika ini terbias pada perspektif yang lebih proaktif digabungjalin dengan beberapa penggunaan istilah ilmiah.  Seseorang pada tahap ini boleh dilabelkan sudah mencapai tahap kanak-kanak yang mula memasuki alam persekolahan.  Mereka dapat bertutur dengan baik dan menggunakan akal fikiran dalam tindak tanduknya kesan daripada proses pendidikan yang dialami samada dalam bentuk akademik mahupun syaksiah diri di sekolah apabila mula didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu.


Tuntasnya, bahasa yang kita tuturkan pada hari ini tidak lahir dengan begitu mudah.  Sebaliknya ia sudah mengalami suatu proses dalam jangka masa yang agak panjang.  Dewasa ini, kita hanyalah ibarat orang yang mengantuk disorong bantal.  Justeru, ramai yang hanya sekadar memandang enteng tentang kewujudan sebuah bahasa.  Bayangkanlah, andai hidup tanpa bahasa, mana mungkin bumi bergemerlap dengan cahaya ilmu dan ukhwah.  Mana mungkin terbinanya izzah sebuah daulah.  Bahasa adalah pencetus ketamadunan!

Keseniaan dan kehalusan sastera adalah dua perkara agak sukar untuk dihayati kerana tidak semua insan dianugerahkan minat dan kemahiran bersastera. Namun,sejarah memaparkan kebanyakan bangsa Arab sejak zaman jahiliyah lagi memiliki kemahiran ini.Buktinya,jutaan syair yang sampai kepada kita hari ini tidak dapat disangkal mutu dan kualiti seninya.Sulaman lafaz-lafaz indah dijalinkan dengan uslub balaghi yang cukup halus mampu menyentuh sensitiviti pembaca yang menghayati setiap bait-bait syair.

Persoalannya,bagaimanakah bangsa Arab yang dikenali sebagai bangsa yang kasar dan keras mampu mempelopori bidang ini.Faktor kemasyarakatan antara pendorong utama kebangkitan bangsa Arab dalam mengagungkan syair-syair.Kehidupan sebahagian daripada mereka yang kurang bergiat dalam aktiviti perniagaan dan pertanian memberi kesempatan untuk bersyair bagi memenuhkan masa dengan menggambarkan pengalaman,kehidupan,perasaan malah apa sahaja yang lahir dalam benak hati dan fikiran mereka untuk diadaptasikan dalam bentuk syair.

Pada awal perkembangan syair,bait-baitnya terhasil ilham dari hentakan kaki unta yang mempunyai irama tertentu.Unta pada masa itu merupakan nukleus bangsa Arab yang memainkan peranan penting terutamanya dalam menjalani kehidupan nomad mereka.Namun,tidak semua jenis-jenis syair sesuai dengan irama ini.Justeru,ilmu arudh yang telah terhasil rentetan penemuan Khalil ibnu Ahmad menyaksikan norma baru bagi mendalami kesusasteraan Arab.

Setiap kalimah dalam syair menghasilkan makna yang berbeza,maka tidak hairanlah jika syair menjadi aset penting bagi bangsa Arab untuk digunakan dalam pelbagai situasi.Pada zaman jahiliyah,syair ghazal atau pujian terhadap wanita telah dipopularkan oleh Amru Qais.Bahasa yang digunakan mampu menghuraikan kecantikan seorang wanita sehingga kadangkala pembaca dapat menterjemahkan imaginasinya dalam bentuk konkrit.Selain daripada itu,terdapat juga syair hijak atau cacian yang menjadi punca tercetus api peperangan antara kabilah-kabilah.Syair jenis ini telah diharamkan pada awal kemunculan Islam.Buktinya,Khalifah Umar telah menangkap Khutai’ah yang menggunakan kalimah yang halus dan sangat kesat dalam salah satu syairnya mencaci Zabrakan.

Namun,syair Hasan bin Thabit berjaya mengalahkan propaganda yang dilontarkan oleh orang kafir.Kejayaan ini telah menyingkap sirna baru dalam era menobatkan syair pada zaman Rasulullah.Baginda sendiri menyeru kaum muslimin agar melawan kafir menggunakan mata pedang dan lidah.Mengintai di sebalik tirai peperangan,syair adalah agenda psikologi sebagai vaksin untuk menyuntik semangat  mujahidin melawan orang-orang kafir.Pada masa yang sama,syiar Islam dapat diperkembangkan melalui syair-syair ini kepada bangsa Arab.

Pada zaman kerajaan Umawiyah ,terdapat ramai penyair kolar putih telah mengeksploitasi syair untuk menjadi sumber ekonomi mereka.Puji-pujian terhadap khalifah yang kadangkala indah khabar dari rupa sangat banyak dirakamkan dalam lipatan sejarah.Namun,kehadiran Abu Aswad Ad-Duali pada zaman ini menaikkan semula taraf syair bilamana syair-syair tasawufnya mula pengambil tempat di hati orang Islam.Dalam bidang Nahu pula,syair menjadi hujjah kepada sesuatu kaedah Nahu.Ini membuktikan bahawa ulamak Nahu sendiri telah mengiktiraf mutu seni yang terdapat dalam sesebuah syair.

Melalui kronologi perkembangan syair ini,telah terang lagi bersuluh bahawa syair menyumbangkan jasa yang begitu besar dalam kesusasteraan Arab.Tanggapan bahawa syair adalah sesuatu yang tidak ada nilai seni dan tidak kontemporari adalah kurang relevan dan wajar ditolak.Justeru,kita seharusnya menjaga keutuhan syair sebagai medium kesusateraan Arab.